Posted on Leave a comment

Lemang Dalam Cawan

Lemang dalam Cawan

Lemang merupakan juadah tradisional yang paling popular pada hari raya. Resepi lemang dalam cawan adalah resepi mudah yang boleh dibuat lakukan di rumah berbanding dengan cara tradisional yang menggunakan buluh tetapi masih lagi mengekalkan penggunaan daun pisang. 

Resepi lemang yang asli menggunakan buluh; yang mana pulut dan santan dimasukkan ke dalam kelongsong buluh yang dilapikkan oleh daun pisang dan dipanggang dengan kayu api. Manakala lemang periuk kera pulak dimasak di dalam kelongsong periuk kera dengan cara mengukus.  Proses ini agak sukar untuk dilakukan bagi mereka yang duduk di kawasan bandar kerana kekangan masa, kawasan dan bahan-bahan. Oleh itu, membeli lemang yang telah siap dibakar adalah lebih mudah daripada membuatnya.

Kebiasaannya keluarga saya hanya membeli lemang hanya 2 kali setahun, iaitu pada musim perayaan. Apabila dalam perjalanan pulang ke kampung, kami akan singgah membeli lemang di tepi jalan. Namun setelah sampai di kampung dan menjamahnya ketika berbuka puasa, kami sering hampa apabila mendapati lemang yang dibeli agak kurang masak dan cepat basi. Masalah ini berulang kali terjadi setiap tahun kerana kami membeli secara rawak di gerai di tepi jalan. 

Untuk mendapatkan rasa dan bau yang sama seperti lemang buluh, saya mengukus lemang dengan menggunakan air yang direbus bersama dengan chopstick buluh dan kemudian mengasapkannya dengan arang. Tekstur lemang ini lembut, rasa serta baunya hampir sama seperti lemang buluh. 

Lemang Dalam Cawan

Resepi lemang yang mudah dan boleh dibuat di rumah.
Prep Time15 mins
Cook Time2 hrs 30 mins
Waktu Menyejuk2 hrs
Course: Raya
Cuisine: Malay
Servings: 7 cawan

Equipment

  • Periuk Kukus/Noxxa
  • Ketuhar

Ingredients

  • 1 keping Daun pisang dibuang batang
  • 3 cawan Beras pulut dibasuh
  • 1.5 cawan Santan pekat
  • 1.5 cawan Air
  • Garam secukup rasa
  • 10 batang Chopstick Buluh (pilihan) dipatahkan
  • 1 ketul Kayu/Arang dibakar
  • 3 sudu besar Minyak

Instructions

Penyediaan Daun

  • Lapkan kedua-dua belah daun pisang dengan tisu atau kain yang dibasahkan dengan air.
  • Tekap dasar cawan di atas daun pisang dan potong bentuk bulatan untuk 7 cawan. Masukkan kepingan bulatan ke dalam cawan. Gulungkan daun pisang dan masukkan nye ke dalam cawan. 

Memasak Lemang

  • Campurkan santan pekat dengan air. Tambahkan garam.
  • Untuk setiap cawan lemang, masukkan 1/2 cawan beras dan 1/2 cawan santan. Ketuk cawan di atas meja supaya pulut mampat dengan sekata.
  • Didihkan air dalam periuk kukus. Langkah pilihan, masukkan chopstick buluh dalam air rebusan. Bakar seketul kayu/arang di atas dapur. Kukus lemang cawan selama 2 jam sehingga masak. 
  • Setelah lemang hampir masak, masukkan sebuah mangkuk berisi dengan minyak ke dalam periuk kukus. Masukkan arang dan tutup periuk. Biarkan selama 10-15 minit. 
  • Panaskan ketuhar pada 200°C selama 10 minit. 
  • Keluarkan lemang daripada periuk kukus dan mampatkan pulut dengan menekannya menggunakan sudu. Masukkan ke dalam ketuhar dan bakar selama 20 minit. 
  • Ulang langkah pengasapan, dengan membakar arang dan meletakkannya di dalam mangkuk/bekas berisi minyak. Masukkan dalam ketuhar. 
  • Setelah masak, keluarkan lemang dan biarkannya sejuk. Setelah sejuk, keluarkan lemang daripada cawan.
  • Hidang bersama rendang dan juadah raya lain. 

Video

Notes

  • Sekiranya mengkukus menggunakan Noxxa: Masukkan air ke dalam Noxxa sehingga paras air mencapai 1/4 daripada ketinggian tin/cawan tersebut. Masak menggunakan high pressure selama 30 minit.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Recipe Rating